Pengenalan Sistem Aduan Suruhanjaya

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) telah ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Merujuk kepada Seksyen 4(1)(d), Seksyen 4(2)(c), Seksyen 4(2)(d) dan Seksyen 12 Akta 597, Suruhanjaya adalah bertanggungjawab untuk menerima dan menyiasat aduan-aduan berkenaan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia, mengadakan inkuiri terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia oleh individu atau kumpulan tertentu serta melawat tempat-tempat tahanan dan membuat syor-syor yang perlu. Untuk menjalankan tugas-tugas ini, Suruhanjaya telah menubuhkan Bahagian Aduan dan Pemantauan.

Suruhanjaya adalah komited untuk memastikan seboleh mungkin, proses membuat aduan kepada Suruhanjaya adalah mudah diakses oleh orang ramai. Sistem aduan Suruhanjaya ini adalah saluran yang paling mudah untuk orang ramai membuat aduan kepada Suruhanjaya untuk pertimbangan dan tindakan lanjut Suruhanjaya. Setiap aduan akan diuruskan mengikut Akta dan Manual Pengurusan Aduan Suruhanjaya.